Posted by: shahino2000 | Julai 10, 2009

Kelebihan Bulan Rejab

Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

Sabda Nabi s.a.w.:
Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya’aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya’aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADAR Nya.

Malam awal Rejab mustajab do’anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).

* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).

* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.

* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.

* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.

* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).

Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur’an atas segala Qalam.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.

Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
“Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau”.(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.

Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur’an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta’zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan).

Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA’ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA’ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA’ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

(http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Rejab.html)

Posted by: shahino2000 | April 12, 2009

Tempat Tuhan

Umat Islam seluruh dunia beribadah solat dengan menghadap kiblat, iaitu tempat terletaknya Kaabah di Mekah. Adakah ini bermakna tuhan berada di Kaabah? Untuk melihat tuhan pun kita tidak mampu bagaimana pula untuk mengetahui tempat tuhan berada. Angin yang bertiup tidak dapat dilihat, tetapi dapat dirasa. Penyakit atau virus tidak dapat dilihat, tetapi dapat dirasa sakitnya jika ia menyerang. Cahaya tiada jisim tapi dapat dilihat. Bagaimanapula dengan Tuhan? Tuhan tidak seperti angin yang kita rasa dan tidak pula seperti cahaya yang kita nampak. Zat Allah juga tidak kita ketahui keadaannya. Jadi bagaimana untuk kita ketahui dimanakan tuhan sedang Tuhan itu tidak kelihatan? Sifat Allah yang tidak sama dengan sifat makhluk membatasi pengetahuan manusia tentang Allah Yang Maha Mengetahui.

“Dia yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari (enam masa tertentu),kemudian Dia bersemayam di atas arasy”.
(Surah Al-Hadid : ayat 4)

“Sesungguhnya telah Kami jadikan manusia dan Kami tahu apa yang diwas-waskan (dibisikan) oleh hatinya dan Kami lebih hampir kepadanya dari urat lehernya”.
(Surah Al-Qaaf : ayat 16)

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an di atas, apakah itu arasy dan adakah Allah itu bersama kita? Jika Allah menempati sesuatu tempat, maka itu adalah sifat makhluk. Dunia yang bersifat fana (lemah) ini tidak mampu menjadi tempat Allah menunjukkan dirinya seperti ketika peristiwa kaum Nabi Musa A.S. mahu melihat Allah lalu gunung yang besar terpecah dan hancur. Dimensi Allah adalah sama sekali berbeza dari dimensi yang manusia tempati sekarang ini. Tuhan juga menciptakan tempat dan masa. Jadi, masa dan tempat juga adalah makhluk Allah dan Allah tidak tertakluk kepada makhluknya. Oleh itu, Allah tidak ada tempat, kerana tempat yang kita maksudkan itu juga adalah makhluk Allah.
Persoalannya, mengapa umat Islam beribadah solat dengan menghadap qiblat (kaabah) sedangkan tuhan tidak ada tempat seperti kenyataan sebelum ini.

Dan (ingatlah), semasa Kami berikan tempat kepada Ibrahim di Baitullah (dengan mengatakan), Janganlah kamu menyekutukan sesuatu dengan aku dan rumahku ini bagi orang-orang yang tawaf, beribadat dan orang-orang yang rukuk dan sujud”
(Surah Al-Haj : ayat 26)

Dalam ayat di atas, dapat difahami bahawa tujuan Allah memerintahkan umat Islam beribadat ke satu arah adalah untuk memastikan mereka tidak menyekutukan Allah dengan yang lain. Sebelum menghala ke Kaabah, Allah memerintahkan umat Islam menunaikan solat ke arah Masjidil Aqsa. Umat Islam tidak menyembah Masjidil Aqsa dan Kaabah, tetapi sebaliknya atas arahan Tuhan.

Seperti ayat di bawah, hanya Allah sahaja mengetahui tentang dirinya.

“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata sedang dia dapat melihat segala penglihatan dan dialah maha halus dan maha mengetahui”.
(Surah Al-An’am : ayat 103)

Kaabah itu rumah Allah, tetapi bukan tempat yang diduduki oleh Allah. Tuhan bersemayam di arasynya dan ini adalah satu daripada sifat Allah. Manakala Kaabah itu sebagai tanda penyatuan umat Islam kepada Tuhan yang Esa. Tuhan tidak berjasad seperti makhluk ciptaannya, jadi Zatnya yang Maha Suci tidak di mana-mana di dunia ini. Tapi Allah sentiasa bersama kita.

Posted by: shahino2000 | April 3, 2009

Allah Pentadbir Alam

Allah adalah raja bagi sekalian raja di dunia dan akhirat. Pentadbiran Allah dijalankan dengan prosedur pengurusan yang mana malaikat-malaikat ditugaskan untuk melakukan kerja yang telah ditetapkan. Ini tidak bermakna Allah memerlukan bantuan malaikat. Zat allah yang Maha Suci mencipta malaikat untuk menjalankan sistem alam raya ini mengikut aturan Allah. Kemampuan malaikat membuat kerja adalah dengan izin Tuhan. Mereka tidak dapat menjalankan apa jua perkara tanpa kebenaran Tuhan.

Begitu juga makhluk Allah yang lain. Manusia, haiwan, tumbuhan, jin, dan segalanya melainkan Allah, hanya dapat melakukan kerja dengan izin Allah. Tapi kenapa manusia masih boleh melakukan perkara yang dilarang Allah? Ini kerana Allah mengizinkan kemampuan manusia melakukannya, tetapi tidak bermakna manusia boleh menentang hukum alam. Kehidupan manusia di alam dunia hanyalah ujian dari Allah. Dengan kebolehan ini manusia melakukan sesuatu, mereka diuji di dunia untuk di hisab di akhirat bagi pembalasan. Jadi, manusia tidak boleh melakukan semua perkara sewenang-wenangnya mengikut kehendak diri. Manusia bebas untuk melakukan apa sahaja tetapi tidak boleh melanggar peraturan yang ditetapkan Allah SWT.

Allah mentadbir alam dan Dia Maha Agung. Dia tidak mempunyai lawan sekali pun iblis dan syaitan, mereka itu hanyalah hamba Allah malah lebih hina lagi dari makhluk yang lain. Bukan dari makhluk tempat kita bermohon tetapi hanya kepada Allah satu-satunya tempat kita berserah diri dan meminta segalanya.

“Sekiranya Dia membantu kamu, tidak ada kuasa lain yang dapat mengalahkanmu, Tetapi sekiranya Allah membiarkan kamu, maka siapa yang dapat membantu kamu selepas itu? Oleh sebab itu, hanya pada Allah sahaja tempat orang mukmin bertawakal.”

(Surah Ali Imran : ayat 60)

Posted by: shahino2000 | April 1, 2009

Makrifatullah (Mengenali Allah)

Makrifatullah (Mengenali Allah)

Allah adalah tuhan sekalian makhluk. Allah adalah bukan benda (bukan makhluk).Selagi ia adalah benda (makhluk) maka ia bukan tuhan. Manusia perlu mengenali dan benar-benar mempercayai Tuhan. Dalam sirah Nabi Muhammad S.A.W, baginda bertapa di Gua Hira’ seorang diri dalam usia 40 tahun. Baginda berharap agar dapat menjumpai sesuatu yang lebih relevan dari kejalinan yang di lakukan penduduk Quraisy pada ketika itu. Di situlah wahyu pertama diturunkan kepadanya melalui perantaraan malaikat Jibril. Ayat yang pertama dari wahyu berkenaan membawa maksud bacalah dengan nama Tuhan. Ini bermakna perkara utama dalam agama dan kebenaran adalah mengenali Tuhan.

Fitrah merasakan diri bertuhan telah ada dalam setiap diri manusia sejak sekian lama kewujudannya di muka bumi. Ia menjadikan masyarakat itu memiliki kepercayaan dan agama. Tamadun yang gemilang dahulunya mempunyai kaitan rapat dengan agama. Tidak kira agama apa sekalipun masyarakat tamadun itu anuti, ia tetap memberi kesan dan kemajuan terhadap tamadun tersebut. Begitu besar pengaruh agama kepada hidup manusia.

Tuhan tidak dapat digambarkan kerana sifat Nya yang berbeza dari makhluk. Tuhan adalah pencipta dan makhluk adalah ciptaan Tuhan. Tuhan tidak dapat dilihat dengan pancaindera manusia, kerana “dapat dilihat” itu adalah sifat manusia. Zat Allah adalah berbeza dari jisim dan jasad makhluk. Sebab itu Allah tidakdapat dilihat, bukan kerana Allah tidak wujud tetapi ini menunjukkan Allah itu hebat.

Makrifat kepada Allah iaitu mengenal dan mengetahui akan Allah. Ia dilakukan dengan cara bertafakur (melihat, memperhatikan, merenungkan dan memikirkan) segala ciptaan Allah dengan disusuli dengan renungan menggunakan segala kekuatan fikiran, akal, dan mata hati. Bukan memikirkan tentang zat Allah kerana itu adalah batasan bagi makhluknya. Kebesaran Allah akan masuk ke dalam hati dan menumbuhkan keimanan yang kukuh dan mantap kepada Allah S.W.T.

Seorang ahli makrifatullah membatasi tingkah laku dan amal perbuatannya kepada empat perkara sahaja seperti yang dinyatakan oleh Al-Junaid Al-Baghdadi mengenai makrifat:

1. Orang makrifatullah mengenal Allah sehingga ia dapat berkomunikasi atau berhubung terus dengan Allah S.W.T. tanpa sebarang perantaraan.

2. Dasar kehidupan hanyalah dengan mengikut sunnah dan ajaran Rasullullah S.A.W. iaitu dengan meninggalkan akhlak yang rendah dan hina.

3. Ia menyerahkan hawa nafsunya tunduk kepada apa yang dikehendaki Allah dari dirinya iaitu yang berlandaskan ajaran al-Qur’an.

4. Mengiktiraf diri sendiri bahawa mereka semua adalah milik Allah dan akan kembali kepada Nya.

Posted by: shahino2000 | Mac 31, 2009

Tauhid

Tauhid

Tauhid (adalah dalam bahasa Arab) yang bermaksud mengakui sesuatu itu Esa atau mengesakan (tauhidullah – mengEsakan Allah SWT). Erti tauhid pada Ulama Mutakallimin ialah ilmu yang membahaskan Esanya Allah dan segala sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat mustahil, dan sifat harus baginya. Ilmu tauhid juga membahaskan tentang kerasulan nabi-nabi yang diutuskan Allah ke dunia serta sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat mustahil, dan sifat harus bagi para rasul itu.

Pernyataan atau pengakuan tauhid, bahawa Allah SWT itu Esa iaitu LA ILAHA ILLAALLAH (tiada tuhan melainkan Allah). Mempelajari tauhid menurut para ulama adalah wajib hukumnya bagi setiap muslim. Rasulullah sendiri diperintahkan supaya mengajak umat Islam kepada ajaran tauhid.

“Katakanlah (hai muhammad) bahawa Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang kepada Nya bergantung segala sesuatu. Ia tidak beranak, dan tidak diperanakkan, serta tidak satu pun menyerupai / setara dengan Nya.”
(Surah Al-Ikhlas : ayat 1 – 4)

Ajaran tauhid bukan sahaja wajib dipelajari tetapi juga perlu diyakini dan dihayati dengan benar. Perbahasan ilmu tauhid merangkumi :

1) Hal-hal yang berkaitan dengan Allah SWT, diantaranya masalah takdir.

2) Hal-hal yang berkaitan dengan utusan Allah sebagai penghubung antara manusia dengan Allah, iaitu Malaikat, Nabi / Rasul, dan Kitab-kitab Suci.

3) Hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan yang akan datang, termasuk masalah syurga dan neraka.
Ilmu tauhid mempunyai beberapa nama yang sesuai untuk aspek perbahasan yang diutarakan, antaranya adalah:

i. Dinamakan ilmu tauhid kerana pokok perbahasannya menitikberatkan kepada keesaan Allah SWT.
ii. Dinamakan ilmu usuluddin kerana pokok perbahasannya mengenai dasar-dasar yang merupakan asas dalam Islam.
iii. Dinamakan ilmu kalam kerana perbahasannya tentang keberadaan tuhan dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya.

Terdapat beberapa cabang ilmu tauhid iaitu:

i. Tauhid rububiyah.
Kepercayaan orang muslim bahawa alam semesta dan segala isinya diciptakan oleh Allah SWT serta dipelihara olehnya.

ii. Tauhid uluhiyah / ubudiyah.
Tekad umat Islam dalam beramal ibadah, pujian dan amal perbuatannya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

iii. Tauhid sifat.
Pemahaman dan penghayatan umat islam kepada sifat-sitat Allah SWT.

iv. Tauhid Qauli / amali.
Tauhid tidak hanya diyakini dalam hati, melainkan juga perlu diikrarkan dengan lisan, dan dibuktikan dengan amal perbuatan.

Posted by: shahino2000 | Mac 31, 2009

Konsep Ketuhanan Islam

Konsep Ketuhanan Islam.

Manusia yang mendiami bumi sejak ribuan tahun dahulu mempunyai kepercayaan masing-masing berkenaan dengan hidup dan mati. Kepercayaan ini berkait rapat dengan kemunculan agama. Agama menerangkan tentang peraturan dan cara hidup di dunia, dan memberitahu tentang keghaiban akhirat. Sains dibuktikan dengan pancaindera dan kaedah saintifik, falsafah terbit dari fikiran manusia tentang nilai-nilai hidup secara rasional dan logik, tetapi kedua-dua sains dan falsafah tidak dapat membuktikan kenyataan agama lebih-lebih lagi berkenaan kehidupan selepas mati. Ia diluar jangkauan pemerhatian dan pemikiran manusia. Sains dipelajari dan dikaji melalui kaedah saintifik dan pembuktian, tetapi agama dipelajari dengan mengikuti. Jika agama dipelajari dan terbitkan dari kajian pemerhatian manusia, maka agama itu adalah ciptaan manusia. Agama bukanlah pendapat seperti mana sains dikaji, tetapi agama adalah wahyu dari Tuhan yang wajib diikuti.

Kewujudan Tuhan Pencipta Alam.

Sering dikatakan kewujudan alam semester adalah bukti ada pencipta alam (iaitu Tuhan). Kenyataan ini lebih kukuh lagi dengan kajian saintifik berkenaan teori big bang yang menerangkan awal kejadian alam ini. Teori yang dikemukakan oleh astronomer Amerika ini mengatakan bumi dan semua planet termasuk matahari terbentuk dari satu letupan besar. Letupan ini bermula dari satu titik yang tidak mempunyai isipadu (isipadu sifar) tetapi mempunyai graviti infiniti. Isipadu sifar ini bermaksud kosong (tidak ada apa-apa). Maknanya alam ini bermula dari “tiada apa-apa”, dan situasi ini dikatakan “ciptaan” (dari tiada kepada ada). Alam adalah ciptaan, maka ia diciptakan. Apabila ia diciptakan, maka pasti ada yang menciptakannya. Pencipta itulah Tuhan. Jadi, dapat kita simpulkan melalui sains bahawa tuhan itu benar-benar wujud. Kita sendiri wajib mempercayai kewujudan Tuhan yang menjadi sifat pertama Allah S.W.T.

Bumi dan langit (alam semesta) pada awalnya adalah bersatu seperti yang diterangkan di dalam kitab Al – Qur’an:

“Dan apakah orang kafir tidak mengetahui langit dan bumi keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Kami jadikan setiap sesuatu yang hidup dari air. Tidakkah mereka percaya?”.

(Surah Al-Anbiya’ : ayat 30)

Posted by: shahino2000 | Februari 28, 2009

FADHILAT PUASA SUNAT SEPANJANG TAHUN

FADHILAT PUASA SUNAT SEPANJANG TAHUN

1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal

Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.

2. Puasa hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari ‘Arafah, sabdanya bermaksud: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya.” (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Puasa pada hari ‘Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag.” (Diriwayat oleh Muslim)

3. Puasa pada bulan Muharram

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: “Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam.” (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu ‘Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: “Sesiapa berpuasa pada hari ‘Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari.” (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

4. Puasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari ‘Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)

5. Puasa hari Tasu’a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharra,.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

PERINGATAN

Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Berpuasalah pada hari ‘Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya.” (Riwayat Imam Ahmad)

6. Puasa bulan Sya’aban

Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: “Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya’aban.” Sabda Rasullullah s.a.w.: “Bulan ini (yakni bulan Sya’aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya’aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa.” (Riwayat al-Nasai)

Ummu Salamah r.a. pula berkata: “Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya’aban dan Ramadhan.” (Riwayat al-Turmuzi)

7. Puasa pada hari Isnin dan Khamis

Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: “Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa.” (Riwayat al-Turmuzi)

Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku.” (Subul al-Salam)

8. Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat

Daripada ‘Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka>” (Riwayat al-Tabrani)

Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa.” (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

9. Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)

Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih – pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah).” (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sohih)

10. Puasa tiga hari pada setiap bulan

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa.”

Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas’ud, Abu Zar, al-Syafi’i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.

Sementara al-Nakha’i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.

11. Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)

Hadith daripada Abdullah bin ‘Amru ibnu al-‘As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun.” Aku berkata: ” Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. “Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abdullah bin ‘Amru ibnu al’As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: “Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/fadhilatpuasawajibdansunnat.htm)

Posted by: shahino2000 | Februari 26, 2009

Fadhilat Puasa Isnin dan Khamis

Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis” (Riwayat Imam Tirmizi)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi)

Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi Nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku” (Hadis riwayat Imam Muslim)

(http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-isnin-dan-khamis.html)

Posted by: shahino2000 | Februari 23, 2009

Fadhilat Selawat 2

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada nabi mengandungi sepuluh faedah dan mendatangkan kemuliaan, iaitu:

1. Memperolehi selawat dari Allah (1o kali selawat)

2. Memperolehi syafaat dari Nabi Muhammad.

3. Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik.

4. Menghapuskan dosa.

5. Mendapat pertolongan

6. Tercapai keperluan hidup.

7. Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir.

8. Memperolehi nur zahir dan batin.

9. Mendapat keselamatan dari azab neraka, membolehkan memasuki syurga.

10. Memperolehi ucap selamat dari Allah.

Menurut para ulama yang didasarkan keterangan-keterangan hadis, membaca selawat kepada Nabi Muhammad akan memperolehi 30 faedah yang amat besar. Di antaranya ialah memperolehi limpah rahmat dari Allah, ditulis sepuluh kebajikan, dihapuskan sepuluh kesalahan, diangkat sepuluh darjat, memperolehi kesempurnaan iman, memperolehi syafaat Nabi Muhammad dan lain-lain lagi.

Justeru itu, marilah kita sebagai umat Islam sentiasa berselawat kepada Rasulullah. Itu tandanya kita sangat mencintai Rasulullah yang menjadi kekasih Allah.

(sumber: http://berita-harian-online.com/kelebihan-selawat/)

Posted by: shahino2000 | Februari 22, 2009

Fadhilat Selawat 1

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:

1. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).

2. “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).

3. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

4. Dari Ubai bin Ka ‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. la berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam).

5.”Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Riwayat Ibnu Murdawaih).

6. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).

7. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).

8.”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Riwayat Tirmizi).

(sumber: http://berita-harian-online.com/kelebihan-selawat/)

Older Posts »

Kategori